Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Showing posts with label Allah. Show all posts
Showing posts with label Allah. Show all posts

Thursday, August 29, 2013

Jauhi Sifat Sombong


Sifat sombong adalah satu sifat atau sikap yang sentiasa merugikan diri seseorang. Sifat sombong ini bermaksud apabila seseorang itu sentiasa merasakan diri sendiri penuh dengan kehebatan yang tidak ada pada orang lain. 

Sifat sombong boleh terjadi pada setiap manusia dengan enam penyebab utamanya iaitu ilmu, keturunan, kecantikan, kekuatan atau kuasa, kekayaan dan kenalan atau kawan. 

Islam menuntut setiap manusia untuk menuntut ilmu tidak kira seseorang itu tua atau muda. Apabila seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan banyak, maka Islam sentiasa berkehendakkan ilmu itu disebarkan pada setiap orang sebagai ganjaran yang Allah berikan dan kelebihan yang ada dimiliki oleh seseorang itu. Sifat sombong terjadi apabila seseorang yang memiliki ilmu itu berpendapat bahawa ilmu yang dimiliki tersebut tidak akan ia kongsikan pada orang lain kerana ia tidak mahu orang lain mengetahui dan bersaing dengan apa yang ia miliki itu. Justeru itu, sifat sombong akan timbul di dalam diri mereka ini kerana ilmu yang tinggi yang ia miliki. 

Seperti juga keturunan, contohnya perbandingan dua hamba Allah dimana seorang memiliki keturunan yang baik dan seorang memiliki keturunan yang kurang baik. Maka, Islam mengkehendaki mereka yang memiliki keturunan yang baik sentiasa membimbing mereka yang memiliki keturunan yang kurang baik demi untuk mengubahkan keturunan yang kurang baik itu menjadi baik. 

Kecantikan pula adalah datang dari Allah S.W.T. Seseorang yang memiliki kecantikan, maka hendaklah ia menggunakan kecantikan itu dengan baik sekali dan tidak perlu sombong diri akan kecantikan yang ada kerana kecantikan itu hanyalah sementara. 

Kekuasaan dan kekayaan pula hendaklah digunakan dengan jalan yang betul. Mereka yang memiliki kemampuan sebegini perlulah menjauhi dari sifat sombong. Ini sering kali terjadi kerana seseorang yang memiliki kekuasaan dan kekayaan akan merasa diri mereka sungguh hebat dan sentiasa akan menindas mereka yang kurang hebat. 

Setiap orang juga akan menjadi sombong kerana dengan adanya kenalan atau rakan. Rakan yang baik adalah mereka yang selalu membimbing, membina dan memperingatkan rakan lain yang jauh terpesong dari jalan Allah S.W.T. Ini sering kali juga terjadi kerana apabila seseorang yang mempunyai rakan yang baik, mereka mudah melupakan rakan lain kerana mereka sentiasa fikirkan rakan yang lain itu perlu diabaikan. Jadilah rakan yang berguna kepada semua keadaan rakan, tanpa memikirkan sifat dan kelakuan rakan-rakan yang lain kerana ini akan menjadikan diri seseorang sentiasa dapat mengenali dan tidak mudah dipengaruhi akan pengalaman yang ia miliki dan juga menjadikan kekuatan di dalam diri seseorang itu untuk menempuhi pelbagai cabaran lain kelak. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, maksudnya : 

"Tidak akan masuk syurga jika dalam hati seseorang, walaupun sedikit, memiliki rasa sombong"

( Riwayat Muslim )

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Wednesday, August 28, 2013

Bercakap Bohong Sifat Orang Munafik



Bercakap bohong ialah berkata-kata akan perkataan berlawanan dengan kenyataan sehingga menjadikan orang lain percaya bahawa apa yang ia kata atau ceritakan itu dianggap sebagai benar. Termasuk juga perkara yang diertikan sebagai bohong ialah menyangka buruk terhadap seseorang. Iaitu mentafsirkan dengan pengertian buruk terhadap perbuatan baik seseorang.

Bercakap bohong boleh juga mengakibatkan pergaduhan diantara saudara-saudara, rakan taulan dan orang lain. Mereka yang suka bercakap bohong tergolong di dalam golongan orang yang munafik.

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :

“Tiga tanda seseorang itu dikira sebagai munafik, walaupun ia melakukan  solat, puasa dan ia menyangka menjadi seorang muslim. Tiga tanda itu ialah apabila bercakap ia berbohong, apabila ia berjanji ia mungkir, dan apabila diamanahkan sesuatu ia khianat”.

( Riwayat Muttafak Alaihi ) 


Bercakap bohong ini banyak memberi kesan yang buruk kepada seseorang. Antaranya :         

  • Apabila ia bercakap bohong, ia akan mendapat dosa daripada Allah S.W.T.·        
  • Akibat selalu berbohong, seseorang akan kehilangan kepercayaan daripada orang lain.    
  • Seseorang yang bercakap bohong, sukar mendapat rakan atau teman yang baik.        
  • Seseorang yang bercakap bohong, fikirannya sering kali terganggu dan sering kali merasa kekusutan akan memikirkan kesudahan bohongnya itu.      
  • Bercakap bohong juga akan mengakibatkan seseorang itu tidak akan mendapat rasa hormat dari orang lain  dan akan memalukan diri sendiri.        
  • Dan lain-lain kesan negatif yang teruk.



Maka, hindarkanlah diri dari bercakap bohong kerana bercakap bohong akan sentiasa merugikan diri seseorang. Berkata-katalah sesuatu yang benar kerana yang benar itu adalah dituntut  didalam Islam, yang benar itu juga tidak akan merugikan diri sendiri  serta mudahnya seseorang akan mendapat rakan,teman yang baik untuk selamanya.

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Perbuatan Yang Menjamin Masuk Neraka Ialah Membunuh Diri



Membunuh diri adalah seseorang yang berusaha untuk membinasakan dan merosakkan diri dari pelbagai cara lantaran kerana ia kecewa untuk hidup. Mereka yang membunuh diri adalah mereka yang hilang keyakinan kepada Allah S.W.T. dan berputus asa dengan rahmat Allah.

Orang yang membunuh diri layaklah ia dimasukkan ke dalam neraka. Perbuatan membunuh diri adalah kerana dengan pelbagai faktor yang telah berlaku di dalam diri seseorang. Di Malaysia, kejadian membunuh diri berlaku melalui beberapa akibat dan masalah. Antaranya mereka membunuh diri kerana berhutang. Apabila seseorang telah berhutang terlalu banyak, dan mereka sentiasa rasa tertekan akan hutang-hutang yang telah mereka hadapi, jalan penyelesaian terkahir mereka adalah membunuh diri.

Perkara membunuh diri ini boleh dielakkan dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Akibat mereka lupa kepada Allah S.W.T, hati mereka tidak mendapat cahaya yang suci dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Janganlah kamu membunuh diri mu sendiri. Sesungguhnya Allah amat menyayangi diri kamu”

( Surah An-Nisa’ Ayat 29 )


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Memperolehi Harta Melalui Cara Haram


Memperolehi harta melalui cara haram bermaksud mencari rezeki atau memperoleh harta melalui cara berjudi, riba, menipu dalam perniagaan, mencuri dan lain-lain yang dil arang oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Di Malaysia, masih ada juga tempat-tempat yang digunakan untuk kerja-kerja seperti ini. Kerja-kerja sebegini banyak akan memberi kesan yang negatif jika dilakukannya sehingga memakan dari hasil yang haram.

Antara kesan-kesan negatif yang akan terjadi jika kita memperolehi dari sumber-sumber yang haram ialah : 

  • Memberi impak yang buruk kepada generasi-generasi atau keturunan-keturunan seseorang jika hasil rezeki perolehi dari sumber yang haram.
  • Hasil dari sumber haram akan membuatkan seseorang akan lupa pada Allah S.W.T. kerana mereka akan bergantung dengan sumber berkenaan sahaja.         
  • Membuatkan seseorang akan merasa angkuh dan bongkak jika mula mendapat hasil yang lumayan dari kerja-kerja seperti penipuan di dalam perniagaan.      
  • Membuatkan kebahagiaan di dalam hidup seseorang akan hilang.   
  • Menjadikan orang lain akan hilang kepercayaan dan hilang rasa hormat kepada diri orang yang mengerjakan kerja-kerja yang haram.    
  • Dan lain-lain.

       Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

     “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan  jalan yang batil” 


       ( Surah Al-Baqarah Ayat 188 )

      Maka, hendaklah seseorang yang bergelar khalifah di bumi Allah S.W.T. menghindarkan diri dari melakukan kerja-kerja atau memperolehi harta dari sumber-sumber yang haram kerana yang haram ini adalah kerja yang dikutuk dan di laknat oleh Allah S.W.T.

     Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah S.W.T. Insyallah…

     Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

    << Kredit Mesra Ilmu >>


Tuesday, August 27, 2013

Sifat Riak Termasuk Syirik Kecil




Riak adalah perbuatan yang dilakukan bertujuan untuk supaya orang lain melihat dan memuji akan apa yang telah dikerjakan oleh seseorang. Riak boleh berlaku di dalam pelbagai aspek, antaranya ketika berjalan dengan bersifat riak, ketika solat menunjuk-nunjuk dengan riak, bercakap, ketika bekerja dan sebagainya. 

Pujian dan sanjungan yang diharapkan itu ialah terhadap peribadinya. 

Di dalam Al-Quran surah al-Ma'un Allah mencela orang yang riak dengan firman-Nya yang bermaksud : 

" Celakalah orang yang bersolat tanpa khusyuk dan orang yang riak dan orang yang tidak mahu menolong orang dengan barang yang berguna yang ia miliki " 

( Surah Al-Ma'un ; Ayat 4-7 )

Orang yang riak juga disebut sebagai orang yang mensyirikkan Allah, kerana riak termasuk salah satu daripada syirik kecil. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda , maksudnya: 

" Berjalan dengan sifat riak termasuk syirik (kecil) "

(Riwayat Al-Hakim)


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Perbuatan Mengungkit Tidak Masuk Syurga




Perbuatan mengungkit ini adalah menyebut-menyebut akan pemberian yang telah diberikan kepada seseorang. Sifat ini timbul kerana adanya sifat ketidak ikhlasan di dalam diri seseorang (pemberi) yang sentiasa mengharapkan balasan atas apa yang telah diberikan sebelum ini. 

Perbuatan mengungkit ini adalah perkara yang mesti dielakkan oleh setiap orang kerana perbuatan seperti ini membuatkan orang lain kurang berasa senang dengan sifat sebegini. Malah, akibat sifat mengungkit dan ketidak ikhlasan akan sesuatu pemberian, menimbulkan pula sifat mencela bagi orang yang menerima pemberian tersebut serta boleh menjatuhkan maruah seseorang. 

Perbuatan sebegini adalah berdosa besar di sisi Islam kerana ia boleh menyakiti hati seseorang dan boleh mencetuskan perpecahan persaudaraan dan persahabatan sesama Islam. 


Allah berfirman di dalam Al-Quran, maksudnya : 

" Wahai orang yang beriman, janganlah kamu membatalkan sedekah kamu dengan cara mengungkit-ungkitnya dan menyakiti hati orang yang menerimanya " 

( Surah Al-baqarah ; ayat 264 ) 


Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : 

" Ada tiga golongan yang tidak dapat masuk syurga, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapa, peminum arak dan orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya" 

( Riwayat An-Nasa'i ) 



Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>


Monday, August 26, 2013

Kelebihan Pahala Untuk Umat Nabi Muhammad S.A.W.



Ka’bul Ahbar berkata bahawa: “Saya telah membaca kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Musa A.S., yang mana Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Wahai Musa, dua rakaat yang disembahyangkan pada waktu subuh oleh Muhammad dan umatnya Aku mengampunkan apa yang terjadi pada malam dan siang hari, dia tetap dibawah lindunganKu”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, solat Zohor empat rakaat yang dilakukan oleh Muhammad dan umatnya Aku akan beri kepada mereka pengampunan pada rakaatpertama, Aku beratkan timbangan mereka pada rakaat kedua, rakaat ketiga Aku kerahkan para malikatKu bertasbih dan membacakan istighfar (memohon ampun) bagi mereka dan pada rakaat keempat Aku bukakan untuk mereka pintu-pintu langit sehingga para bidadari dapat mengintai mereka”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, empat rakaat solat Asar yang dilakukan oleh Muhammad dan umatnya, maka semua para malaikat di langit dan di bumi meminta ampun untuk mereka, maka sesiapa yang telah diminta ampun oleh malaikat, tidaklah Aku siksa mereka itu”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, solat  Maghrib tiga rakaat yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya, iaitu ketika matahari terbenam maka Aku bukakan untuk mereka pintu-pintu langit, dan setiap yang mereka minta pasti akan Aku berikan”.

Firman Allah S.W.T. : “ Wahai Musa, solat isya’ empat rakaat yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya, ketika terbenam mega-mega merah, solat itu adalah lebih baik dari dunia dan seisinya dan juga mereka terlepas dari dosa-dosa. Mereka itu bagaikan anak yang baru lahir dari perut ibu”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, jika Muhammad dan umatnya berwudhu’ sebagaimana Aku perintahkan maka Aku berikan kepada mereka setiap titik air wudhu’ itu dengan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, puasa yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya dalam bulan Ramadhan selama sebulan dalam setiap tahun, maka akan Aku berikan mereka setiap satu hari puasa itu satu kota di syurga dan setiap kebaikan yang dilakukan oleh mereka, yang sunat akan diberi pahala sebesar pahala fardhu. Aku berikan kepada mereka satu malam yang bernama Lailatul Qadar, barang siapa yang membaca istighfar pada malam itu hanya sekali tetapi bersungguh-sungguh dan menyesal di dalam hatinya terhadap kesalahan-kesalahanya, apabila dia mati pada malam itu atau pada bulan itu, maka Aku berikan pahala kepadanya pahala 30 orang mati syahid”.

Firman Allah S.W.T. : “Wahai Musa, di antara umat Muhammad S.A.W. ada orang-orang yang berdiri di atas tempat-tempat tinggi untuk mengumandangkan syahadat La illaha illallah, maka pahala mereka bagaikan pahala para nabi-nabi A.S. dan rahmatKu wajib atas mereka. Sedangkan murkaKu jauh dari mereka dan tidak akan Aku tutup bagi mereka pintu taubat selama mereka tetap bersyahadat Ashhadu an Laa illaha illallah”.


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Raja Mesir Yang Lumpuh Kerana Kecantikan Siti Sarah

gambar sekadar hiasan

Dalam sebuah kitab menceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim A.S. hendak pergi ke Mesir maka beliau mendapat tahu bahawa raja Mesir itu sangat jahat dan sangat suka mengambil isteri orang dengan paksa, raja Mesir itu mempunyai orang-orang suruhan di setiap pelusuk.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. mendengar berita tentang perbuatan raja tersebut maka beliau sangat risau sebab isteri beliau, Siti Sarah adalah wanita yang sangat cantik. Nabi Ibrahim A.S. telah membuat peti dan memasukkan Siti Sarah ke dalam peti dan menguncinya, kemudian Nabi Ibrahim A.S. meletakkan peti tersebut di belakang unta dan terus menuju ke Mesir.

Apabila sampai di suatu tempat maka pembantu raja Mesir mengarahkan supaya peti tersebut di buka, kerana mereka hendak melihat isinya tetapi Nabi Ibrahim enggan membuka peti tersebut sehingga datang pembantu-pembantu raja lain. Akhirnya mereka membuka peti tersebut dan mereka terkejut apabila dilihat seorang wanita yang sangat cantik berada di dalam peti itu. Salah seorang dari pembantu raja itu bertanya: “Apakah wanita ini isteri kamu?”. Nabi Ibrahim A.S. berkata: “Dia adalah adik kandungku”.

Pembantu raja itu berkata: “Saya fakir wanita ini sangat sesuai untuk raja kami”.

Setelah berkata demikian, maka pembantu raja pun membawa Siti Sarah kepada raja Mesir. Allah S.W.T. telah membuka hijab yang mana Nabi Ibrahim A.S. dapat melihat apa yang berlaku dari luar.

Apabila Siti Sarah berada di hadapan raja Mesir itu maka raja Mesir itu menghampiri Siti Sarah dan menghulurkan tangan kepada Siti Sarah, oleh kerana Siti Sarah adalah isteri kekasih Allah maka Allah S.W.T. melumpuhkan kaki dan tangan raja Mesir itu.

Apabila raja mMesir melihat kaki dan tangannya menjadi lumpuh maka diapun berkata: “Wahai wanita ahli sihir, kamu telah melumpuhkan kaki dan tanganku”.

Siti Sarah berkata: “Wahai raja yang zalim, aku bukannya ahli sihir seperti yang kamu sangkakan, aku adalah isteri Khaliilullah (isteri kekasih Allah). Dia (Nabi Ibrahim A.S.) telah berdoa kepada Allah S.W.T. dan Allah S.W.T. telah menerima doanya dengan melumpuhkan kamu”.

Akhirnya raja Mesir itu bertaubat lalu Allah S.W.T. menyembuhkan kaki dan tangannya menjadi baik seperti mulanya pada ketika itu juga.

Setelah kaki dan tangannya sembuh, maka dia memandang Siti Sarah dia berkeinginan lagi ke atas Siti Sarah, tetapi Allah sentiasa menjaga isteri kekasihnya sehingga dia tidak dapat melihat.

Setelah raja itu menjadi buta maka diapun bertaubat lagi, maka Allah S.W.T. pun mengembalikan penglihatannya.

Setelah raja itu dapat melihat semual maka perangai syaitannya itu tetap tidak berubah dia cuba menggangu Siti Sarah buat kali ketiga, kali ini Allah S.W.T. melumpuhkan keseluruhan anggotanya. Akhirnya dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Sebaik sahaja keseluruhan anggota raja itu menjadi lumpuh maka diapun memerintahkan pengawalnya membawa Nabi Ibrahim A.S.

Setelah Nabi Ibrahim A.S. datang maka raja yang lumpuh itu berkata: “Wahai Ibrahim, hukumlah saya sekehendak hatimu”.

Nabi Ibrahim A.S. : “Ini adalah perintah Tuhan saya, oleh itu saya tidak akan bertindak menghukum sesuatu dengan perintah Allah”.

Sebaik sahaja Nabi Ibrahim A.S. selesai berkata maka turunlah malaikat Jibrail A.S. lalu berkata: “Wahai Ibrahim, Allah S.W.T. berkata kepada kamu:  ‘katakanlah kepada raja itu supaya dia menyerahkan  kesemua kerajaannya dan segala harta bendanya kepada kamu, kemudian berdoalah kamu untuknya’”.

Setelah Nabi Ibrahim A.S. mendapat perintah maka beliau pun berkata kepada raja tersebut tentang hukum Allah, raja tersebut redha dengan hukum Allah. Setelah raja itu bersetuju dengan hukuman tersebut maka Nabi Ibrahim pun berdoa untuknya, akhirnya Allah menyembuhkan kembali seluruh anggota raja tersebut dan dia dapat bergerak seperti sedia kala.

Apabila raja itu telah sembuh dari lumpuhnya maka dia pun menghadiahkan Siti Hajar (budak perempuan) kepada Siti Sarah. Apabila Siti Sarah menerima Siti Hajar maka Siti Sarah pun berkata: “Aku rela suamiku berkahwin dengan Siti Hajar kerana dia bersusah hati sebab tidak mempunyai anak”.

Setelah itu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Sarah, janganlah kamu bersusah hati, sesungguhnya Allah telah membuka hijab antara kau dan saya”.

(Dari Kitab As Sab’iyyaati)


Budak perempuan bernama Siti Hajar setelah berkahwin dengan Nabi Ibrahim A.S. melahirkan seorang putera bernama Ismail A.S. 


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Sunday, August 25, 2013

Kisah Nabi Yahya Dengan Iblis



Diriwayatkan bahawa Yahya A.S. telah melihat Iblis membawa pengait dari segala macam bahan. Maka Yahya A.S. pun bertanya: "Wahai Iblis, pengait apakah yang kamu bawa itu?". Mendengar pertanyaan Nabi Yahya itu maka Iblis pun berkata: "Semua yang aku bawa ini adalah untuk kesenangan nafsu, aku akan mendapatkan anak Adam dengannya". 

Lalu Nabi Yahya A.S. berkata : "Adakah bahagian aku ada di dalamnya?". Iblis berkata : "Ya ada, kadang-kadang kamu kenyang, lalu aku membuat kamu merasa berat untuk berzikir dan bersolat". Nabi Yahya A.S. bertanya lagi: "Ada apa-apa lagi selain dari itu untuk ku?". Iblis menjawab : "Tidak". Nabi Yahya berkata lagi : "Bagi Allah wajib atasku, aku tidak akan memenuhi perutku dengan makanan-makanan untuk selamanya". Mendengar kata Nabi Yahya A.S. itu, Iblis berkata : "Dan bagi Allah atasku, aku tidak akan menasihati lagi walaupun seorang muslim buat selamanya". 


Sumber : Daripada pemahaman dan pembacaan admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk