Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Showing posts with label Mesra Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Mesra Ilmu. Show all posts

Thursday, August 29, 2013

Jauhi Sifat Sombong


Sifat sombong adalah satu sifat atau sikap yang sentiasa merugikan diri seseorang. Sifat sombong ini bermaksud apabila seseorang itu sentiasa merasakan diri sendiri penuh dengan kehebatan yang tidak ada pada orang lain. 

Sifat sombong boleh terjadi pada setiap manusia dengan enam penyebab utamanya iaitu ilmu, keturunan, kecantikan, kekuatan atau kuasa, kekayaan dan kenalan atau kawan. 

Islam menuntut setiap manusia untuk menuntut ilmu tidak kira seseorang itu tua atau muda. Apabila seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan banyak, maka Islam sentiasa berkehendakkan ilmu itu disebarkan pada setiap orang sebagai ganjaran yang Allah berikan dan kelebihan yang ada dimiliki oleh seseorang itu. Sifat sombong terjadi apabila seseorang yang memiliki ilmu itu berpendapat bahawa ilmu yang dimiliki tersebut tidak akan ia kongsikan pada orang lain kerana ia tidak mahu orang lain mengetahui dan bersaing dengan apa yang ia miliki itu. Justeru itu, sifat sombong akan timbul di dalam diri mereka ini kerana ilmu yang tinggi yang ia miliki. 

Seperti juga keturunan, contohnya perbandingan dua hamba Allah dimana seorang memiliki keturunan yang baik dan seorang memiliki keturunan yang kurang baik. Maka, Islam mengkehendaki mereka yang memiliki keturunan yang baik sentiasa membimbing mereka yang memiliki keturunan yang kurang baik demi untuk mengubahkan keturunan yang kurang baik itu menjadi baik. 

Kecantikan pula adalah datang dari Allah S.W.T. Seseorang yang memiliki kecantikan, maka hendaklah ia menggunakan kecantikan itu dengan baik sekali dan tidak perlu sombong diri akan kecantikan yang ada kerana kecantikan itu hanyalah sementara. 

Kekuasaan dan kekayaan pula hendaklah digunakan dengan jalan yang betul. Mereka yang memiliki kemampuan sebegini perlulah menjauhi dari sifat sombong. Ini sering kali terjadi kerana seseorang yang memiliki kekuasaan dan kekayaan akan merasa diri mereka sungguh hebat dan sentiasa akan menindas mereka yang kurang hebat. 

Setiap orang juga akan menjadi sombong kerana dengan adanya kenalan atau rakan. Rakan yang baik adalah mereka yang selalu membimbing, membina dan memperingatkan rakan lain yang jauh terpesong dari jalan Allah S.W.T. Ini sering kali juga terjadi kerana apabila seseorang yang mempunyai rakan yang baik, mereka mudah melupakan rakan lain kerana mereka sentiasa fikirkan rakan yang lain itu perlu diabaikan. Jadilah rakan yang berguna kepada semua keadaan rakan, tanpa memikirkan sifat dan kelakuan rakan-rakan yang lain kerana ini akan menjadikan diri seseorang sentiasa dapat mengenali dan tidak mudah dipengaruhi akan pengalaman yang ia miliki dan juga menjadikan kekuatan di dalam diri seseorang itu untuk menempuhi pelbagai cabaran lain kelak. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, maksudnya : 

"Tidak akan masuk syurga jika dalam hati seseorang, walaupun sedikit, memiliki rasa sombong"

( Riwayat Muslim )

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Wednesday, August 28, 2013

Pemakan Dan Pemberi Rasuah



Pemakan rasuah ialah orang yang menerima wang atau harta sogokan kerana membelakangkan hukum atau peraturan untuk membolehkan orang yang tidak termasuk ke dalam peraturan itu mendapat keistimewaan atau orang yang melanggar hukuman terlepas daripada hukuman. Sedangkan ia adalah orang yang diamanahkan menjaga, menjalankan dan menegakkan hukum, tetapi lantaran ia diberi rasuah, maka ia mengabaikannya.

Pemberi rasuah pula ialah orang yang menggunakan wang atau harta untuk menyuruh orang yang mempunyai kuasa terhadap sesuatu peraturan agar ia tidak menjalankan peraturan itu demi kerana keuntungan kepadanya atau ia menyelamatkan diri daripada hukuman peraturan itu.

Kedua-dua golongan itu disabdakan oleh Nabi S.A.W.

Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya:

“Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah”.

( Riwayat Ibnu Hibban )

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu  >>

Bercakap Bohong Sifat Orang Munafik



Bercakap bohong ialah berkata-kata akan perkataan berlawanan dengan kenyataan sehingga menjadikan orang lain percaya bahawa apa yang ia kata atau ceritakan itu dianggap sebagai benar. Termasuk juga perkara yang diertikan sebagai bohong ialah menyangka buruk terhadap seseorang. Iaitu mentafsirkan dengan pengertian buruk terhadap perbuatan baik seseorang.

Bercakap bohong boleh juga mengakibatkan pergaduhan diantara saudara-saudara, rakan taulan dan orang lain. Mereka yang suka bercakap bohong tergolong di dalam golongan orang yang munafik.

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :

“Tiga tanda seseorang itu dikira sebagai munafik, walaupun ia melakukan  solat, puasa dan ia menyangka menjadi seorang muslim. Tiga tanda itu ialah apabila bercakap ia berbohong, apabila ia berjanji ia mungkir, dan apabila diamanahkan sesuatu ia khianat”.

( Riwayat Muttafak Alaihi ) 


Bercakap bohong ini banyak memberi kesan yang buruk kepada seseorang. Antaranya :         

  • Apabila ia bercakap bohong, ia akan mendapat dosa daripada Allah S.W.T.·        
  • Akibat selalu berbohong, seseorang akan kehilangan kepercayaan daripada orang lain.    
  • Seseorang yang bercakap bohong, sukar mendapat rakan atau teman yang baik.        
  • Seseorang yang bercakap bohong, fikirannya sering kali terganggu dan sering kali merasa kekusutan akan memikirkan kesudahan bohongnya itu.      
  • Bercakap bohong juga akan mengakibatkan seseorang itu tidak akan mendapat rasa hormat dari orang lain  dan akan memalukan diri sendiri.        
  • Dan lain-lain kesan negatif yang teruk.



Maka, hindarkanlah diri dari bercakap bohong kerana bercakap bohong akan sentiasa merugikan diri seseorang. Berkata-katalah sesuatu yang benar kerana yang benar itu adalah dituntut  didalam Islam, yang benar itu juga tidak akan merugikan diri sendiri  serta mudahnya seseorang akan mendapat rakan,teman yang baik untuk selamanya.

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Perbuatan Yang Menjamin Masuk Neraka Ialah Membunuh Diri



Membunuh diri adalah seseorang yang berusaha untuk membinasakan dan merosakkan diri dari pelbagai cara lantaran kerana ia kecewa untuk hidup. Mereka yang membunuh diri adalah mereka yang hilang keyakinan kepada Allah S.W.T. dan berputus asa dengan rahmat Allah.

Orang yang membunuh diri layaklah ia dimasukkan ke dalam neraka. Perbuatan membunuh diri adalah kerana dengan pelbagai faktor yang telah berlaku di dalam diri seseorang. Di Malaysia, kejadian membunuh diri berlaku melalui beberapa akibat dan masalah. Antaranya mereka membunuh diri kerana berhutang. Apabila seseorang telah berhutang terlalu banyak, dan mereka sentiasa rasa tertekan akan hutang-hutang yang telah mereka hadapi, jalan penyelesaian terkahir mereka adalah membunuh diri.

Perkara membunuh diri ini boleh dielakkan dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Akibat mereka lupa kepada Allah S.W.T, hati mereka tidak mendapat cahaya yang suci dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Janganlah kamu membunuh diri mu sendiri. Sesungguhnya Allah amat menyayangi diri kamu”

( Surah An-Nisa’ Ayat 29 )


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Memperolehi Harta Melalui Cara Haram


Memperolehi harta melalui cara haram bermaksud mencari rezeki atau memperoleh harta melalui cara berjudi, riba, menipu dalam perniagaan, mencuri dan lain-lain yang dil arang oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Di Malaysia, masih ada juga tempat-tempat yang digunakan untuk kerja-kerja seperti ini. Kerja-kerja sebegini banyak akan memberi kesan yang negatif jika dilakukannya sehingga memakan dari hasil yang haram.

Antara kesan-kesan negatif yang akan terjadi jika kita memperolehi dari sumber-sumber yang haram ialah : 

  • Memberi impak yang buruk kepada generasi-generasi atau keturunan-keturunan seseorang jika hasil rezeki perolehi dari sumber yang haram.
  • Hasil dari sumber haram akan membuatkan seseorang akan lupa pada Allah S.W.T. kerana mereka akan bergantung dengan sumber berkenaan sahaja.         
  • Membuatkan seseorang akan merasa angkuh dan bongkak jika mula mendapat hasil yang lumayan dari kerja-kerja seperti penipuan di dalam perniagaan.      
  • Membuatkan kebahagiaan di dalam hidup seseorang akan hilang.   
  • Menjadikan orang lain akan hilang kepercayaan dan hilang rasa hormat kepada diri orang yang mengerjakan kerja-kerja yang haram.    
  • Dan lain-lain.

       Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

     “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan  jalan yang batil” 


       ( Surah Al-Baqarah Ayat 188 )

      Maka, hendaklah seseorang yang bergelar khalifah di bumi Allah S.W.T. menghindarkan diri dari melakukan kerja-kerja atau memperolehi harta dari sumber-sumber yang haram kerana yang haram ini adalah kerja yang dikutuk dan di laknat oleh Allah S.W.T.

     Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah S.W.T. Insyallah…

     Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

    << Kredit Mesra Ilmu >>


Tuesday, August 27, 2013

Sifat Riak Termasuk Syirik Kecil




Riak adalah perbuatan yang dilakukan bertujuan untuk supaya orang lain melihat dan memuji akan apa yang telah dikerjakan oleh seseorang. Riak boleh berlaku di dalam pelbagai aspek, antaranya ketika berjalan dengan bersifat riak, ketika solat menunjuk-nunjuk dengan riak, bercakap, ketika bekerja dan sebagainya. 

Pujian dan sanjungan yang diharapkan itu ialah terhadap peribadinya. 

Di dalam Al-Quran surah al-Ma'un Allah mencela orang yang riak dengan firman-Nya yang bermaksud : 

" Celakalah orang yang bersolat tanpa khusyuk dan orang yang riak dan orang yang tidak mahu menolong orang dengan barang yang berguna yang ia miliki " 

( Surah Al-Ma'un ; Ayat 4-7 )

Orang yang riak juga disebut sebagai orang yang mensyirikkan Allah, kerana riak termasuk salah satu daripada syirik kecil. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda , maksudnya: 

" Berjalan dengan sifat riak termasuk syirik (kecil) "

(Riwayat Al-Hakim)


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Akibat Umat Islam Mengutuk Sesama Islam



Di dalam agama Islam yang suci ini, kita dilarang sama sekali untuk mengutuk sesama saudara seislam kita, walaupun mereka berbangsa lain, berkulit lain, dan bahasa yang lain. Ini kerana setiap perbuatan yang kita lakukan ini akan dapat memecah belahkan tali persaudaraan Islam. 

Setiap umat Islam perlulah menjaga setiap tutur kata kerana ia adalah dituntut di dalam Islam. Dengan amalan sebegini, ia dapat menjadi contoh kepada masyarakat yang bukan beragama Islam. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : 


"Mencaci sesama Islam termasuk perbuatan fasik (jahat) dan membunuh (tanpa hak) menjadi kafir" 

( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Abu Hurairah pula meriwayatkan hadis bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : 


"Tidaklah seorang yang beriman itu suka mencerca (mengutuk), menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk, berbuat keji dan bercakap yang tidak sopan" 

( Riwayat Muslim )

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang beriman tidak akan melakukan perkara-perkara tersebut. Akan tetapi sekiranya kita dapati ada orang yang mengakui beragama Islam atau beriman, tetapi ia melakukan perbuatan yang dilarang tersebut, maka menunjukkan ia bukanlah tergolong dari golongan orang yang beriman. 


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk