Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Showing posts with label Nabi Ibrahim A.S.. Show all posts
Showing posts with label Nabi Ibrahim A.S.. Show all posts

Tuesday, September 03, 2013

Nabi Ibrahim Dengan Malaikat Maut


Nabi Ibrahim mempunyai sebuah rumah kecil yang khas digunakannya untuk beribadat kepada Allah. Apabila hendak keluar, rumah itu akan dikunci supaya tiada sesiapa pun yang boleh masuk dan merosakkan rumah ibadatnya itu. Bagaimanapun, suatu hari Nabi Ibrahim terkejut kerana sebaik memasuki rumahnya itu, didapati ada seorang lelaki di dalamnya.
“Siapa kamu yang berani menceroboh rumahku?” tanya Nabi Ibrahim.
“Aku dimasukkan ke dalam rumah ini oleh tuan empunya rumah ini,” jawab lelaki itu ringkas.
Nabi Ibrahim terdiam. Dia mula terfikir sesuatu. “Katakan padaku, adakah kamu ini malaikat?”
Lelaki tersebut menjawab pertanyaannya, “Ya… aku adalah malaikat. Malaikat Maut!”
Lantas Nabi Ibrahim bertanya, “Kalau begitu, bolehkah kamu tunjukkan kepadaku akan keadaan rupa wajahmu apabila kamu hendak mencabut nyawa orang mukmin?”
Berkata malaikat maut, “Berpalinglah kamu daripadaku buat seketika.”
Nabi Ibrahim pun memalingkan mukanya. Beberapa ketika kemudian memandang malaikat maut kembali. Alangkah terperanjatnya Nabi Ibrahim apabila melihat keindahan wajah malaikat maut itu. Wajahnya seperti orang muda, sangat tampan, memakai kain yang cukup cantik dan disaluti bau yang harum semerbak.
Kata Nabi Ibrahim, “Wahai malaikat maut, jikalau orang mukmin hanya dapat menatap wajahmu saja sebelum mereka mati, maka itu pun sudah cukup bagi mereka.
Suatu hari Nabi Ibrahim didatangi oleh malaikat maut. Nabi Ibrahim bertanya kepada Izrail adakah malaikat maut itu boleh memperlihatkan wajahnya. Dia ingin benar melihat wajah malaikat yang paling ditakuti oleh seluruh makhluk Allah itu.
“Wahai Ibrahim, kalau itu yang engkau minta, aku sedia melakukannya,” jawab Izrail.
Apabila sudah mendapat keizinan, Nabi Ibrahim bertanya lagi, “Aku minta padamu Izrail, bolehkah kau tunjukkan rupamu ketika mencabut nyawa orang yang ingkar pada perintah Allah dan berbuat zalim?”
Jawab Izrail, “Wahai Ibrahim, kini kamu berpalinglah daripada melihatku buat seketika.”
Lalu Nabi Ibrahim pun memalingkan mukanya. Seketika kemudian Nabi Ibrahim memandang kembali ke arah malaikat maut. Seketika itu juga Nabi Ibrahim melihat suatu lembaga berbentuk lelaki hitam dan rambunya keriting. Dari mulut dan lubang hidung malaikat maut itu keluar lidah api yang menjulang-julang serta asap yang bergulung-gulung.
Apabila melihat keadaan malaikat maut yang mengerikan itu, Nabi Ibrahim terus jatuh dan pengsan. Setelah Nabi Ibrahim sedar semula, Izrail pun kembali menunjukkan wajahnya yang cantik dan bersinar-sinar.

Berkata Nabi Ibrahim, “Wahai malaikat maut, kalaulah orang yang zalim itu melihat mukamu sebelum mereka mati, maka itu pun sudah memadai untuk membuat mereka bertaubat kepada Allah.”
Sumber : Harian Islam
<< Kredit Mesra Ilmu >>

Saturday, August 31, 2013

Nabi Ibrahim Dengan Kiasan Bingkai Pintu


Pada suatu hari, Nabi Ibrahim A.S. datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, Nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu.
Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu Nabi Ibrahim A.S.
Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa Nabi Ismail keluar memburu.
Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab :
Kami hidup susah dan kesempitan”. Nabi Ibrahim A.S. bertanya lagi : ” Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?”. Jawab perempuan tadi :” Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman”.
Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka Nabi Ibrahim A.S. mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama Nabi Ismail.
Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang maka Nabi Ibrahim A.S. berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya :
"Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya"
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim A.S. meninggal rumah itu maka pulanglah Nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya :
Adakah ada seseorang datang menziarahimu?”. Jawab isterinya :” Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya”.
Baginda bertanya lagi :” Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu?”. Jawab isterinya : “Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu”.
Mendengar jawapan daripada isterinya lantas Nabi Ismail menjelaskan kepadanya :” Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula”. Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.
Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail.
Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana Nabi Ismail tiada di rumah.
Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik.
Nabi Ibrahim A.S. bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : ” Adakah kamu mempunyai tetamu?”. Jawab perempuan itu :” Ya! iaitu engkau”.
Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab :” Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia”. Sambil itu dia memuji-muji Allah.
Sebelum pulang Nabi Ibrahim A.S. berpesan kepada perempuan itu : ” Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya”. Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.
Setelah Nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya.
Dia memberitahu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada Nabi Ismail.
Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu Nabi Ismail dengan gembira memberitahu :” Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu”. Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.
Sumber : HarianIslam
<< Kredit Mesra Ilmu >>


Monday, August 26, 2013

Raja Mesir Yang Lumpuh Kerana Kecantikan Siti Sarah

gambar sekadar hiasan

Dalam sebuah kitab menceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim A.S. hendak pergi ke Mesir maka beliau mendapat tahu bahawa raja Mesir itu sangat jahat dan sangat suka mengambil isteri orang dengan paksa, raja Mesir itu mempunyai orang-orang suruhan di setiap pelusuk.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. mendengar berita tentang perbuatan raja tersebut maka beliau sangat risau sebab isteri beliau, Siti Sarah adalah wanita yang sangat cantik. Nabi Ibrahim A.S. telah membuat peti dan memasukkan Siti Sarah ke dalam peti dan menguncinya, kemudian Nabi Ibrahim A.S. meletakkan peti tersebut di belakang unta dan terus menuju ke Mesir.

Apabila sampai di suatu tempat maka pembantu raja Mesir mengarahkan supaya peti tersebut di buka, kerana mereka hendak melihat isinya tetapi Nabi Ibrahim enggan membuka peti tersebut sehingga datang pembantu-pembantu raja lain. Akhirnya mereka membuka peti tersebut dan mereka terkejut apabila dilihat seorang wanita yang sangat cantik berada di dalam peti itu. Salah seorang dari pembantu raja itu bertanya: “Apakah wanita ini isteri kamu?”. Nabi Ibrahim A.S. berkata: “Dia adalah adik kandungku”.

Pembantu raja itu berkata: “Saya fakir wanita ini sangat sesuai untuk raja kami”.

Setelah berkata demikian, maka pembantu raja pun membawa Siti Sarah kepada raja Mesir. Allah S.W.T. telah membuka hijab yang mana Nabi Ibrahim A.S. dapat melihat apa yang berlaku dari luar.

Apabila Siti Sarah berada di hadapan raja Mesir itu maka raja Mesir itu menghampiri Siti Sarah dan menghulurkan tangan kepada Siti Sarah, oleh kerana Siti Sarah adalah isteri kekasih Allah maka Allah S.W.T. melumpuhkan kaki dan tangan raja Mesir itu.

Apabila raja mMesir melihat kaki dan tangannya menjadi lumpuh maka diapun berkata: “Wahai wanita ahli sihir, kamu telah melumpuhkan kaki dan tanganku”.

Siti Sarah berkata: “Wahai raja yang zalim, aku bukannya ahli sihir seperti yang kamu sangkakan, aku adalah isteri Khaliilullah (isteri kekasih Allah). Dia (Nabi Ibrahim A.S.) telah berdoa kepada Allah S.W.T. dan Allah S.W.T. telah menerima doanya dengan melumpuhkan kamu”.

Akhirnya raja Mesir itu bertaubat lalu Allah S.W.T. menyembuhkan kaki dan tangannya menjadi baik seperti mulanya pada ketika itu juga.

Setelah kaki dan tangannya sembuh, maka dia memandang Siti Sarah dia berkeinginan lagi ke atas Siti Sarah, tetapi Allah sentiasa menjaga isteri kekasihnya sehingga dia tidak dapat melihat.

Setelah raja itu menjadi buta maka diapun bertaubat lagi, maka Allah S.W.T. pun mengembalikan penglihatannya.

Setelah raja itu dapat melihat semual maka perangai syaitannya itu tetap tidak berubah dia cuba menggangu Siti Sarah buat kali ketiga, kali ini Allah S.W.T. melumpuhkan keseluruhan anggotanya. Akhirnya dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Sebaik sahaja keseluruhan anggota raja itu menjadi lumpuh maka diapun memerintahkan pengawalnya membawa Nabi Ibrahim A.S.

Setelah Nabi Ibrahim A.S. datang maka raja yang lumpuh itu berkata: “Wahai Ibrahim, hukumlah saya sekehendak hatimu”.

Nabi Ibrahim A.S. : “Ini adalah perintah Tuhan saya, oleh itu saya tidak akan bertindak menghukum sesuatu dengan perintah Allah”.

Sebaik sahaja Nabi Ibrahim A.S. selesai berkata maka turunlah malaikat Jibrail A.S. lalu berkata: “Wahai Ibrahim, Allah S.W.T. berkata kepada kamu:  ‘katakanlah kepada raja itu supaya dia menyerahkan  kesemua kerajaannya dan segala harta bendanya kepada kamu, kemudian berdoalah kamu untuknya’”.

Setelah Nabi Ibrahim A.S. mendapat perintah maka beliau pun berkata kepada raja tersebut tentang hukum Allah, raja tersebut redha dengan hukum Allah. Setelah raja itu bersetuju dengan hukuman tersebut maka Nabi Ibrahim pun berdoa untuknya, akhirnya Allah menyembuhkan kembali seluruh anggota raja tersebut dan dia dapat bergerak seperti sedia kala.

Apabila raja itu telah sembuh dari lumpuhnya maka dia pun menghadiahkan Siti Hajar (budak perempuan) kepada Siti Sarah. Apabila Siti Sarah menerima Siti Hajar maka Siti Sarah pun berkata: “Aku rela suamiku berkahwin dengan Siti Hajar kerana dia bersusah hati sebab tidak mempunyai anak”.

Setelah itu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Sarah, janganlah kamu bersusah hati, sesungguhnya Allah telah membuka hijab antara kau dan saya”.

(Dari Kitab As Sab’iyyaati)


Budak perempuan bernama Siti Hajar setelah berkahwin dengan Nabi Ibrahim A.S. melahirkan seorang putera bernama Ismail A.S. 


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk