Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Tuesday, September 03, 2013

Nabi Ibrahim Dengan Malaikat Maut


Nabi Ibrahim mempunyai sebuah rumah kecil yang khas digunakannya untuk beribadat kepada Allah. Apabila hendak keluar, rumah itu akan dikunci supaya tiada sesiapa pun yang boleh masuk dan merosakkan rumah ibadatnya itu. Bagaimanapun, suatu hari Nabi Ibrahim terkejut kerana sebaik memasuki rumahnya itu, didapati ada seorang lelaki di dalamnya.
“Siapa kamu yang berani menceroboh rumahku?” tanya Nabi Ibrahim.
“Aku dimasukkan ke dalam rumah ini oleh tuan empunya rumah ini,” jawab lelaki itu ringkas.
Nabi Ibrahim terdiam. Dia mula terfikir sesuatu. “Katakan padaku, adakah kamu ini malaikat?”
Lelaki tersebut menjawab pertanyaannya, “Ya… aku adalah malaikat. Malaikat Maut!”
Lantas Nabi Ibrahim bertanya, “Kalau begitu, bolehkah kamu tunjukkan kepadaku akan keadaan rupa wajahmu apabila kamu hendak mencabut nyawa orang mukmin?”
Berkata malaikat maut, “Berpalinglah kamu daripadaku buat seketika.”
Nabi Ibrahim pun memalingkan mukanya. Beberapa ketika kemudian memandang malaikat maut kembali. Alangkah terperanjatnya Nabi Ibrahim apabila melihat keindahan wajah malaikat maut itu. Wajahnya seperti orang muda, sangat tampan, memakai kain yang cukup cantik dan disaluti bau yang harum semerbak.
Kata Nabi Ibrahim, “Wahai malaikat maut, jikalau orang mukmin hanya dapat menatap wajahmu saja sebelum mereka mati, maka itu pun sudah cukup bagi mereka.
Suatu hari Nabi Ibrahim didatangi oleh malaikat maut. Nabi Ibrahim bertanya kepada Izrail adakah malaikat maut itu boleh memperlihatkan wajahnya. Dia ingin benar melihat wajah malaikat yang paling ditakuti oleh seluruh makhluk Allah itu.
“Wahai Ibrahim, kalau itu yang engkau minta, aku sedia melakukannya,” jawab Izrail.
Apabila sudah mendapat keizinan, Nabi Ibrahim bertanya lagi, “Aku minta padamu Izrail, bolehkah kau tunjukkan rupamu ketika mencabut nyawa orang yang ingkar pada perintah Allah dan berbuat zalim?”
Jawab Izrail, “Wahai Ibrahim, kini kamu berpalinglah daripada melihatku buat seketika.”
Lalu Nabi Ibrahim pun memalingkan mukanya. Seketika kemudian Nabi Ibrahim memandang kembali ke arah malaikat maut. Seketika itu juga Nabi Ibrahim melihat suatu lembaga berbentuk lelaki hitam dan rambunya keriting. Dari mulut dan lubang hidung malaikat maut itu keluar lidah api yang menjulang-julang serta asap yang bergulung-gulung.
Apabila melihat keadaan malaikat maut yang mengerikan itu, Nabi Ibrahim terus jatuh dan pengsan. Setelah Nabi Ibrahim sedar semula, Izrail pun kembali menunjukkan wajahnya yang cantik dan bersinar-sinar.

Berkata Nabi Ibrahim, “Wahai malaikat maut, kalaulah orang yang zalim itu melihat mukamu sebelum mereka mati, maka itu pun sudah memadai untuk membuat mereka bertaubat kepada Allah.”
Sumber : Harian Islam
<< Kredit Mesra Ilmu >>

Saturday, August 31, 2013

Nabi Ibrahim Dengan Kiasan Bingkai Pintu


Pada suatu hari, Nabi Ibrahim A.S. datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, Nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu.
Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu Nabi Ibrahim A.S.
Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa Nabi Ismail keluar memburu.
Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab :
Kami hidup susah dan kesempitan”. Nabi Ibrahim A.S. bertanya lagi : ” Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?”. Jawab perempuan tadi :” Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman”.
Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka Nabi Ibrahim A.S. mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama Nabi Ismail.
Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang maka Nabi Ibrahim A.S. berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya :
"Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya"
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim A.S. meninggal rumah itu maka pulanglah Nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya :
Adakah ada seseorang datang menziarahimu?”. Jawab isterinya :” Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya”.
Baginda bertanya lagi :” Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu?”. Jawab isterinya : “Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu”.
Mendengar jawapan daripada isterinya lantas Nabi Ismail menjelaskan kepadanya :” Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula”. Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.
Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail.
Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana Nabi Ismail tiada di rumah.
Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik.
Nabi Ibrahim A.S. bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : ” Adakah kamu mempunyai tetamu?”. Jawab perempuan itu :” Ya! iaitu engkau”.
Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab :” Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia”. Sambil itu dia memuji-muji Allah.
Sebelum pulang Nabi Ibrahim A.S. berpesan kepada perempuan itu : ” Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya”. Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.
Setelah Nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya.
Dia memberitahu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada Nabi Ismail.
Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu Nabi Ismail dengan gembira memberitahu :” Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu”. Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.
Sumber : HarianIslam
<< Kredit Mesra Ilmu >>


Kisah Kematian Saidina Umar al-Khattob R.A.



Abu Lu'luah seorang Majusi telah bertemu dengan Saidina Umar R.A. dan mengadu mengenai jumlah kharaj (macam cukai) yang dikenakan ke atasnya untuk dijelaskan kepada tuannya iaitu Mughirah bin Syu'bah agak tinggi. Kadar jumlah yang terpaksa dibayar ialah 4 dirham setiap hari yang mana Saidina Umar R.A. yang mendengar pengaduan ini mengatakan bahawa jumlah itu agak bersesuaian dan tidak terlalu membebankan. Ini berdasarkan kepada pendapatnya hasil daripada beberapa kerja yang dilakukan.

Sebenarnya Saidina Umar R.A. memang boleh mempertimbangkan rayuannya itu sebagaimana beliau berbuat demikian dengan mereka yang lain tetapi beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kadar yang dikenakan tidak membebankan Abu Lu'luah. Apabila rayuannya itu tidak diterima oleh Saidina Umar R.A. maka dia terus berlalu dari situ dalam keadaan marah dan penuh perasaan dendam. Dia berniat dalam hati untuk membunuh Saidina Umar R.A. dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan niat jahatnya itu.

Pada suatu hari ketika Saidina Umar R.A. bersama para sahabat yang lain ingin mendirikan solat Subuh, Abu Lu'luah turut sama masuk ke masjid dan berada dicelah-celah para sahabat yang lain.
Saidina Umar R.A. di gelar Amirul Mukminin.Ketika Abu Lu'luah hampir dengan Saidina Umar R.A., dia terus menikam Saidina Umar R.A. Abu Lu'luah telah menikam sebanyak 6 tikaman. 1 tikaman terkena di bahagaian perut Saidina Umar R.A. Abu Lu'luah menikam menggunakan pisau bermata dua, tikaman yang terkena di bahagian perut menyebabkan Saidina Umar R.A. gugur syahid.

Setelah menikam Saidina Umar, Abu Lu'luah cuba melarikan diri  tetapi ditahan oleh para sahabat yang lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam mereka yang cuba menangkapnya.

Ini menyebabkan sebelas atau tiga belas orang sahabat gugur syahid dan yang lain ramai yang luka. Namun begitu para sahabat cuba juga untuk menangkap penjenayah yang kejam itu dan akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah terkepong dan tertangkap maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau ditangannya. Selepas itu Abdullah bin 'Auf terus memenggalkan kepala penjenayah itu.

Para muslimin yang berada di situ terus memangku beliau dalam keadaan penuh kebimbangan. Beliau menyeru :" Adalah di kalangan kamu ini Abdul Rahman bin 'Auf?". Para muslimin menyahut : " Ya! ada wahai Amirul Mukminin". Beliau berkata :"Katakanlah kepadanya agar mengimamkan para muslimin dalam menunaikan solat Subuh!. Ia merupakan solat fardhu yang diwajibkan ketika ini".

Saidina Umar R.A. telah menghembuskan nafas yang terakhir pada subuh hari pertama bulan Muharram tahun 22 hijrah ketika dalam usianya 63 tahun, iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar ketika kewafatan keduanya.

Selepas jenazah beliau selesai diurus maka Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan para muslimin dalam menyembahyangkan jasad yang mulia ini. Beliau dikebumikan dalam bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya. Maqam beliau berada berhampiran maqam Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar.

Pada hari itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat dan sebulat suara melantik Saidina Uthman bin al-'Affan sebagai khalifah ar-rashid yang ketiga menggantikan Saidina Umar al-Khattob al-Faruq R.A. sebagai pemimpin Daulah Islamiah.

Fakta : Pengikut Syiah mengagungkan Abu Lu'luah di dalam doanya. Mereka sentiasa mengangkat maqam Abu lu'luah sebagai pejuang agama mereka.

"Jika ada kesilapan daripada kisah ini, berharap agar anda semua boleh memberikan komen sebagai pembetulan"

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>


Thursday, August 29, 2013

Jauhi Sifat Sombong


Sifat sombong adalah satu sifat atau sikap yang sentiasa merugikan diri seseorang. Sifat sombong ini bermaksud apabila seseorang itu sentiasa merasakan diri sendiri penuh dengan kehebatan yang tidak ada pada orang lain. 

Sifat sombong boleh terjadi pada setiap manusia dengan enam penyebab utamanya iaitu ilmu, keturunan, kecantikan, kekuatan atau kuasa, kekayaan dan kenalan atau kawan. 

Islam menuntut setiap manusia untuk menuntut ilmu tidak kira seseorang itu tua atau muda. Apabila seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan banyak, maka Islam sentiasa berkehendakkan ilmu itu disebarkan pada setiap orang sebagai ganjaran yang Allah berikan dan kelebihan yang ada dimiliki oleh seseorang itu. Sifat sombong terjadi apabila seseorang yang memiliki ilmu itu berpendapat bahawa ilmu yang dimiliki tersebut tidak akan ia kongsikan pada orang lain kerana ia tidak mahu orang lain mengetahui dan bersaing dengan apa yang ia miliki itu. Justeru itu, sifat sombong akan timbul di dalam diri mereka ini kerana ilmu yang tinggi yang ia miliki. 

Seperti juga keturunan, contohnya perbandingan dua hamba Allah dimana seorang memiliki keturunan yang baik dan seorang memiliki keturunan yang kurang baik. Maka, Islam mengkehendaki mereka yang memiliki keturunan yang baik sentiasa membimbing mereka yang memiliki keturunan yang kurang baik demi untuk mengubahkan keturunan yang kurang baik itu menjadi baik. 

Kecantikan pula adalah datang dari Allah S.W.T. Seseorang yang memiliki kecantikan, maka hendaklah ia menggunakan kecantikan itu dengan baik sekali dan tidak perlu sombong diri akan kecantikan yang ada kerana kecantikan itu hanyalah sementara. 

Kekuasaan dan kekayaan pula hendaklah digunakan dengan jalan yang betul. Mereka yang memiliki kemampuan sebegini perlulah menjauhi dari sifat sombong. Ini sering kali terjadi kerana seseorang yang memiliki kekuasaan dan kekayaan akan merasa diri mereka sungguh hebat dan sentiasa akan menindas mereka yang kurang hebat. 

Setiap orang juga akan menjadi sombong kerana dengan adanya kenalan atau rakan. Rakan yang baik adalah mereka yang selalu membimbing, membina dan memperingatkan rakan lain yang jauh terpesong dari jalan Allah S.W.T. Ini sering kali juga terjadi kerana apabila seseorang yang mempunyai rakan yang baik, mereka mudah melupakan rakan lain kerana mereka sentiasa fikirkan rakan yang lain itu perlu diabaikan. Jadilah rakan yang berguna kepada semua keadaan rakan, tanpa memikirkan sifat dan kelakuan rakan-rakan yang lain kerana ini akan menjadikan diri seseorang sentiasa dapat mengenali dan tidak mudah dipengaruhi akan pengalaman yang ia miliki dan juga menjadikan kekuatan di dalam diri seseorang itu untuk menempuhi pelbagai cabaran lain kelak. 

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, maksudnya : 

"Tidak akan masuk syurga jika dalam hati seseorang, walaupun sedikit, memiliki rasa sombong"

( Riwayat Muslim )

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin

<< Kredit Mesra Ilmu >>

Wednesday, August 28, 2013

Pemakan Dan Pemberi Rasuah



Pemakan rasuah ialah orang yang menerima wang atau harta sogokan kerana membelakangkan hukum atau peraturan untuk membolehkan orang yang tidak termasuk ke dalam peraturan itu mendapat keistimewaan atau orang yang melanggar hukuman terlepas daripada hukuman. Sedangkan ia adalah orang yang diamanahkan menjaga, menjalankan dan menegakkan hukum, tetapi lantaran ia diberi rasuah, maka ia mengabaikannya.

Pemberi rasuah pula ialah orang yang menggunakan wang atau harta untuk menyuruh orang yang mempunyai kuasa terhadap sesuatu peraturan agar ia tidak menjalankan peraturan itu demi kerana keuntungan kepadanya atau ia menyelamatkan diri daripada hukuman peraturan itu.

Kedua-dua golongan itu disabdakan oleh Nabi S.A.W.

Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya:

“Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah”.

( Riwayat Ibnu Hibban )

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu  >>

Bercakap Bohong Sifat Orang Munafik



Bercakap bohong ialah berkata-kata akan perkataan berlawanan dengan kenyataan sehingga menjadikan orang lain percaya bahawa apa yang ia kata atau ceritakan itu dianggap sebagai benar. Termasuk juga perkara yang diertikan sebagai bohong ialah menyangka buruk terhadap seseorang. Iaitu mentafsirkan dengan pengertian buruk terhadap perbuatan baik seseorang.

Bercakap bohong boleh juga mengakibatkan pergaduhan diantara saudara-saudara, rakan taulan dan orang lain. Mereka yang suka bercakap bohong tergolong di dalam golongan orang yang munafik.

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :

“Tiga tanda seseorang itu dikira sebagai munafik, walaupun ia melakukan  solat, puasa dan ia menyangka menjadi seorang muslim. Tiga tanda itu ialah apabila bercakap ia berbohong, apabila ia berjanji ia mungkir, dan apabila diamanahkan sesuatu ia khianat”.

( Riwayat Muttafak Alaihi ) 


Bercakap bohong ini banyak memberi kesan yang buruk kepada seseorang. Antaranya :         

  • Apabila ia bercakap bohong, ia akan mendapat dosa daripada Allah S.W.T.·        
  • Akibat selalu berbohong, seseorang akan kehilangan kepercayaan daripada orang lain.    
  • Seseorang yang bercakap bohong, sukar mendapat rakan atau teman yang baik.        
  • Seseorang yang bercakap bohong, fikirannya sering kali terganggu dan sering kali merasa kekusutan akan memikirkan kesudahan bohongnya itu.      
  • Bercakap bohong juga akan mengakibatkan seseorang itu tidak akan mendapat rasa hormat dari orang lain  dan akan memalukan diri sendiri.        
  • Dan lain-lain kesan negatif yang teruk.



Maka, hindarkanlah diri dari bercakap bohong kerana bercakap bohong akan sentiasa merugikan diri seseorang. Berkata-katalah sesuatu yang benar kerana yang benar itu adalah dituntut  didalam Islam, yang benar itu juga tidak akan merugikan diri sendiri  serta mudahnya seseorang akan mendapat rakan,teman yang baik untuk selamanya.

Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Perbuatan Yang Menjamin Masuk Neraka Ialah Membunuh Diri



Membunuh diri adalah seseorang yang berusaha untuk membinasakan dan merosakkan diri dari pelbagai cara lantaran kerana ia kecewa untuk hidup. Mereka yang membunuh diri adalah mereka yang hilang keyakinan kepada Allah S.W.T. dan berputus asa dengan rahmat Allah.

Orang yang membunuh diri layaklah ia dimasukkan ke dalam neraka. Perbuatan membunuh diri adalah kerana dengan pelbagai faktor yang telah berlaku di dalam diri seseorang. Di Malaysia, kejadian membunuh diri berlaku melalui beberapa akibat dan masalah. Antaranya mereka membunuh diri kerana berhutang. Apabila seseorang telah berhutang terlalu banyak, dan mereka sentiasa rasa tertekan akan hutang-hutang yang telah mereka hadapi, jalan penyelesaian terkahir mereka adalah membunuh diri.

Perkara membunuh diri ini boleh dielakkan dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Akibat mereka lupa kepada Allah S.W.T, hati mereka tidak mendapat cahaya yang suci dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Janganlah kamu membunuh diri mu sendiri. Sesungguhnya Allah amat menyayangi diri kamu”

( Surah An-Nisa’ Ayat 29 )


Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin


<< Kredit Mesra Ilmu >>

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk

 
SEO Stats powered by MyPagerank.Net