gambar sekadar hiasan
Dalam sebuah kitab menceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim
A.S. hendak pergi ke Mesir maka beliau mendapat tahu bahawa raja Mesir itu
sangat jahat dan sangat suka mengambil isteri orang dengan paksa, raja Mesir
itu mempunyai orang-orang suruhan di setiap pelusuk.
Apabila Nabi Ibrahim A.S. mendengar berita tentang perbuatan
raja tersebut maka beliau sangat risau sebab isteri beliau, Siti Sarah adalah
wanita yang sangat cantik. Nabi Ibrahim A.S. telah membuat peti dan memasukkan
Siti Sarah ke dalam peti dan menguncinya, kemudian Nabi Ibrahim A.S. meletakkan
peti tersebut di belakang unta dan terus menuju ke Mesir.
Apabila sampai di suatu tempat maka pembantu raja Mesir
mengarahkan supaya peti tersebut di buka, kerana mereka hendak melihat isinya
tetapi Nabi Ibrahim enggan membuka peti tersebut sehingga datang
pembantu-pembantu raja lain. Akhirnya mereka membuka peti tersebut dan mereka
terkejut apabila dilihat seorang wanita yang sangat cantik berada di dalam peti
itu. Salah seorang dari pembantu raja itu bertanya: “Apakah wanita ini isteri
kamu?”. Nabi Ibrahim A.S. berkata: “Dia adalah adik kandungku”.
Pembantu raja itu berkata: “Saya fakir wanita ini sangat
sesuai untuk raja kami”.
Setelah berkata demikian, maka pembantu raja pun membawa
Siti Sarah kepada raja Mesir. Allah S.W.T. telah membuka hijab yang mana Nabi
Ibrahim A.S. dapat melihat apa yang berlaku dari luar.
Apabila Siti Sarah berada di hadapan raja Mesir itu maka
raja Mesir itu menghampiri Siti Sarah dan menghulurkan tangan kepada Siti
Sarah, oleh kerana Siti Sarah adalah isteri kekasih Allah maka Allah S.W.T.
melumpuhkan kaki dan tangan raja Mesir itu.
Apabila raja mMesir melihat kaki dan tangannya menjadi
lumpuh maka diapun berkata: “Wahai wanita ahli sihir, kamu telah melumpuhkan
kaki dan tanganku”.
Siti Sarah berkata: “Wahai raja yang zalim, aku bukannya
ahli sihir seperti yang kamu sangkakan, aku adalah isteri Khaliilullah (isteri
kekasih Allah). Dia (Nabi Ibrahim A.S.) telah berdoa kepada Allah S.W.T. dan
Allah S.W.T. telah menerima doanya dengan melumpuhkan kamu”.
Akhirnya raja Mesir itu bertaubat lalu Allah S.W.T.
menyembuhkan kaki dan tangannya menjadi baik seperti mulanya pada ketika itu
juga.
Setelah kaki dan tangannya sembuh, maka dia memandang Siti
Sarah dia berkeinginan lagi ke atas Siti Sarah, tetapi Allah sentiasa menjaga
isteri kekasihnya sehingga dia tidak dapat melihat.
Setelah raja itu menjadi buta maka diapun bertaubat lagi,
maka Allah S.W.T. pun mengembalikan penglihatannya.
Setelah raja itu dapat melihat semual maka perangai
syaitannya itu tetap tidak berubah dia cuba menggangu Siti Sarah buat kali
ketiga, kali ini Allah S.W.T. melumpuhkan keseluruhan anggotanya. Akhirnya dia
bertaubat dengan sebenar-benar taubat.
Sebaik sahaja keseluruhan anggota raja itu menjadi lumpuh
maka diapun memerintahkan pengawalnya membawa Nabi Ibrahim A.S.
Setelah Nabi Ibrahim A.S. datang maka raja yang lumpuh itu
berkata: “Wahai Ibrahim, hukumlah saya sekehendak hatimu”.
Nabi Ibrahim A.S. : “Ini adalah perintah Tuhan saya, oleh
itu saya tidak akan bertindak menghukum sesuatu dengan perintah Allah”.
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim A.S. selesai berkata maka
turunlah malaikat Jibrail A.S. lalu berkata: “Wahai Ibrahim, Allah S.W.T.
berkata kepada kamu: ‘katakanlah kepada
raja itu supaya dia menyerahkan kesemua
kerajaannya dan segala harta bendanya kepada kamu, kemudian berdoalah kamu
untuknya’”.
Setelah Nabi Ibrahim A.S. mendapat perintah maka beliau pun
berkata kepada raja tersebut tentang hukum Allah, raja tersebut redha dengan
hukum Allah. Setelah raja itu bersetuju dengan hukuman tersebut maka Nabi
Ibrahim pun berdoa untuknya, akhirnya Allah menyembuhkan kembali seluruh
anggota raja tersebut dan dia dapat bergerak seperti sedia kala.
Apabila raja itu telah sembuh dari lumpuhnya maka dia pun
menghadiahkan Siti Hajar (budak perempuan) kepada Siti Sarah. Apabila Siti
Sarah menerima Siti Hajar maka Siti Sarah pun berkata: “Aku rela suamiku
berkahwin dengan Siti Hajar kerana dia bersusah hati sebab tidak mempunyai
anak”.
Setelah itu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Sarah, janganlah
kamu bersusah hati, sesungguhnya Allah telah membuka hijab antara kau dan
saya”.
(Dari Kitab As Sab’iyyaati)
Budak perempuan bernama Siti Hajar setelah berkahwin dengan
Nabi Ibrahim A.S. melahirkan seorang putera bernama Ismail A.S.
Sumber : Daripada pembacaan dan pemahaman admin
<< Kredit Mesra Ilmu >>
No comments:
Post a Comment
Tambah komen anda di sini...