Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Friday, July 26, 2013

5 Kisah Mimpi Menjadi Pengajaran

Saya sempat membaca dari petikan akhbar metro yang boleh saya kongsikan semula kepada anda semua tentang lima kisah mimpi yang dilalui seorang Nabi. Mungkin kisah ini boleh menjadi pengajaran kepada kita semua akan teladan yang tersirat di dalamnya. 

Kisahnya mengenai Abu Laits as-Samarqandi, ahli fiqh yang masyhur. Satu ketika, dia pernah berkata: “Ayahku menceritakan bahawa antara Nabi yang bukan Rasul, ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi pada satu malam, diperintahkan dengan mimpi yang menyatakan: “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

“Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Nabi itu kebingungan sambil berkata: “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.

Nabi itu mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula sebuah mangkuk emas. Dia teringat arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.

Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu menanamnya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Selepas tiga kali, berkatalah Nabi itu: “Aku sudah melaksanakan perintah-Mu.” 

Lantas dia meneruskan perjalanannya dan tanpa disedarinya, mangkuk emas itu tetap terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”

Mendengar rayuan burung itu, hatinya berasa simpati lalu memasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu datang menghampiri Nabi itu sambil berkata: “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu, janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh memutuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.

Akhirnya, dia membuat keputusan mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberi kepada helang itu.

Setelah mendapat daging itu, helang itu terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi berkenaan meneruskan perjalanannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu pula satu bangkai yang sangat busuk baunya, dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. 

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, kembalilah Nabi itu ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi berdoa. Dalam doanya dia berkata: “Ya Allah, aku sudah melaksanakan perintah-Mu sebagaimana diberitahu dalam mimpiku, maka jelaskan kepadaku erti semua ini.”

Dalam mimpi, beliau diberitahu oleh Allah bahawasanya: “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit, tetapi akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, marah akan menjadi lebih manis daripada madu.

“Kedua, semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, ia tetap akan nampak juga. Ketiga, jika menerima amanah seseorang, jangan kamu khianat kepadanya.

Keempat, jika seseorang meminta kepadamu, usahakan untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. 

Kelima, bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita berikutan lima perkara ini sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian, terutama dalam soal memperkatakan hal orang lain. 


Hindarkanlah diri kita dari pelbagai perkara-perkara yang boleh mencacat celakan amalan kita di bulan mulia ini agar kita sentiasa mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Rujukan : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Tambah komen anda di sini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk

 
SEO Stats powered by MyPagerank.Net