Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Sunday, July 21, 2013

Keteguhan Iman Asiah Dalam Menghadapi Siksaan

Gambar Sekadar Hiasan


Dalam sejarah, tokoh kekafiran yang paling dahsyat adalah Firaun. Dia bukan sahaja tidak mengakui adanya tuhan malah dia mengangkat dirinya sebagai tuhan yang berhak disembah sehingga tergamak dia menyatakan di hadapan rakyat jelata, “Akulah  tuhan kamu yang maha tinggi”.

Orang-orang kafir seperti Raja Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang lagi yang terkenal dalam sejarah, mereka tetap mengakui adanya tuhan. Hanya sahaja mereka tidak mengakui tuhan mereka adalah Allah Yang Maha Esa.


Segala seruan Nabi Musa dan Harun sedikitpun tidak pernah dia hiraukan malah pernah suatu ketika Firaun naik ke puncak sebuah bangunan yang tinggi dan melepaskan anah panah ke langit. Kebetulan anak panah itu jatuh dihadapannya dengan bersimbahan darah, lalu dia mengisytiharkan pada rakyat jelata bahawa dia telah membunuh Tuhan Nabi Musa sedangkan darah tersebut hanyalah darah burung yang Allah tetapkan mengenai sasaran anak panahnya supaya dia bertambah kufur dengan kesombongan dan kekafirannya. 

Seluruh rakyatnya dipaksa untuk menyembah dan sujud padanya. Sesiapa yang ingkar, pasti dibunuhnya sehingga seluruh rakyatnya merasa takut dan tidak mempunyai pilihan kecuali menyembahnya.

Walaupun seluruh rakyat telah menyembahnya sebagai tuhan, ada seorang yang paling dekat hubungan dengan dirinya berani mengingkarkan dirinya sebagai  tuhan  iaitulah isterinya sendiri, Asiah.

Dialah satu-satunya orang yang beriman kepada Allah di istana Firaun. Rahsia keimanannya yang disembunyikan selama ini telah terbongkar berpunca dari ucapan perkataan “Allah” yang terbit dari mulutnya secara tidak sengaja. 

Firaun berusaha memujuk supaya dia kembali kepada kekafirannya. Dia berkata : “Wahai isteriku, tahukah engkau akibat orang yang mengingkari diriku sebagai tuhan? Sebelum engkau menyesal, ubahlah pendirianmu!”. Jawab Asiah yang tegas: “Wahai Firaun, pendirianku tidak akan berubah walau apa pun yang akan menimpa diriku dan perlu engkau ingat bahawa engkau dan aku adalah sama-sama manusia biasa. Tuhanmu dan tuhanku adalah Allah”.

Firaun berusaha memujuknya dengan kata-kata lemah-lembut tetapi tetap tidak berhasil, lalu digunakan kekerasan. Kata Firaun : “Hai Asiah, jika engkau tidak mahu mengubah pendirianmu, pastilah engkau akan aku pancung!”.

Jawab Asiah: “Wahai Firaun, lakukan lah apa yang engkau mahu tetapi sedikitpun engkau tidak akan dapat menguasai  pendirianku dan dengarkanlah sekali lagi aku nyatakan bahawa tuhanmu dan tuhanku adalah Allah”. 

Setelah usaha mempengaruhinya secara lemah lembut mahupun secara kekerasan juga tidak berhasil, lalu Firaun membuat  pengumuman pada sekalian rakyatnya bahawa seorang perempuan akan dipancung kepalanya akibat keengganannya untuk mengakui Firaun sebagai tuhan iaitulah  Asiah, isterinya sendiri. Semoga hukuman ini akan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang ingkar akan ketuhanan Firaun.

Pada masa yang telah ditentukan, berkumpullah sekalian rakyat di suatu tempat, dimana Asiah diikat pada sebatang pokok kurma. Firaun masih tidak berputus asa dan cuba memujuknya. Katanya : “Wahai Asiah, ubahlah pendirianmu. Engkau akan  kumaafkan”. Berulang kali pula Asiah menjawab : “Tidak….tidak, janganlah engkau cuba mempengaruhiku lagi. Sia-sia sahaja perbuatanmu”.

Lalu Asiah memohon pada Allah sebagaimana yang  telah dijelaskan di dalam Al-Quran surah Tahrim ayat 11 yang bermaksud ; “Dan Allah mengemukakan  satu misal perbandingan bagi orang-orang yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika dia berkata; Tuhanku, binalah untukku sebuah istana disisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim”.

Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah, lalu Allah perintahkan  pada malaikat: “Sesungguhnya hambaKu memohon padaKu dan Aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatkanlah padanya gambarannya kerana suaminya yang didunia akan aku ganti dengan suami yang lebih baik di syurga, istananya yang ada didunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga”.

Maka malaikat pun menunjukkan gambaran keindahan syurga sebagaimana permohonan Asiah. Pada ketika itu Asiah tersenyum seolah-olah dia mencabar kematiannya.
Asiah menghadapi kematian tidak di dalam keadaan bersedih, juga tidak menangis malah tersenyum.


Semoga Kisah-Kisah Ini Menjadi Pedoman Dan Teladan Kepada Kita Semua, Insyallah….


Rujukan : Himpunan Kisah-Kisah Teladan



No comments:

Post a Comment

Tambah komen anda di sini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk

 
SEO Stats powered by MyPagerank.Net