Powered by Blogger.
Selamat Datang Ke Blog Mesra Ilmu [Pedoman Dan Tauladan]


Saturday, July 20, 2013

Kisah Seorang Perempuan Mendengar Azan Lalu Meninggalkan Roti Yang Dibakarnya



Diriwayatkan daripada Khalid Bin Hamid (semoga Allah memberikan rahmat atasnya), beliau berkata : Pada masa Nabi Isa A.S. ada seorang perempuan yang kuat keimanannya, maka manakala dia sedang membakar roti, tiba-tiba terdengar seruan azan, dengan serta merta dia tinggalkan rotinya pada tempat pembakarannya sedangkan dengan api dapurnya masih menyala, lalu dia pergi melaksanakan sembahyang.

Pada masa dia hendak dirikan sembahyang, tiba-tiba datanglah syaitan yang menyerupai seorang perempuan menemuinya, lalu berkata, “Wahai saudaraku, sesungguhnya telah hangus roti yang engkau bakar pada tempat pembakarannya”. Maka perempuan tersebut menjawab : “Sesungguhnya Tuhan yang aku sembah adalah terlebih baik daripada roti yang aku bakar”, manakala syaitan yang menyerupai dirinya seperti perempuan itu tidak dihiraukannya lagi.

Kerana tidak berhasil menggoda seorang wanita yang kuat keimanannya itu, dengan rasa yang sangat kecewa dan putus asa syaitan itu pun pergi meninggalkannya.

Selepas sembahyang, wanita itu memasukkan anaknya ke tempat membakar roti. Pada ketika itu, datanglah suaminya dan dia amat terkejut mendapati anak-anaknya duduk di atas dapur pembakaran roti sambil bermain dengan bara api. 

Setelah itu dia pergi untuk menemui Nabi Isa A.S. dan diceritakanlah tentang isteri dan anak-anaknya sebagaimana yang telah dilihatnya. Apabila mendengar khabar yang demikian, maka Nabi Isa a.s. berkata : “Cubalah  tunjukkan padaku di mana mereka berada supaya aku dapat lihat secara langsung”. Maka suaminya membawa Nabi Isa a.s. ke tempat kejadian itu dan mendapati benarlah apa yang telah diceritakan oleh suami perempuan  itu.

Nabi Isa a.s. melihat kejadian yang ajaib di mana dia mendapati beberapa orang kanak-kanak sedang bermain dengan bara api manakala di dalam api tersebut terdapat pohon delima yang sedang berbuah dan kanak-kanak itu memakan buahnya. Kamudian tiba-tiba sahaja bara api itu berubah menjadi batu aqiiq (batu-batu kecil yang indah) dan permata. Maka bermainlah kanak-kanak itu di dalamnya.

Melihatkan kejadian yang aneh itu, Nabi Isa a.s. lalu berkata : “Bawalah perempuan itu kepadaku”. Setelah perempuan itu datang menemuinya, Nabi Isa bertanya: “Wahai hamba Allah, amalan apakah yang sentiasa engkau amalkan sehingga engkau mendapat kemuliaan seperti ini?”.

Jawab perempuan itu : “Wahai  Nabi Allah Isa, sesungguhnya aku sentiasa menjaga tiga perkara serta aku amalkan tiga perkara itu. Adapun yang tiga perkara itu ialah aku sentiasa memelihara air wuduk dan aku sediakan air untuk berwuduk. Apabila wuduk ku batal, maka aku gantikan dengan wuduk yang baru. Aku juga selalu menziarahi orang mati sebagaimana dibuat oleh orang lain. Maka apabila ada diantara orang-orang yang hadir mengungkit keburukan si mati, maka aku cela orang tersebut. Dan segala hajat manusia yang memerlukan bantuanku, sekiranya aku berkuasa untuk melaksanakannya, maka segera aku tolong semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Hanya itulah amalan yang sentiasa aku jaga dengan sebaik-baiknya”.

Apabila mendengar penjelasan perempuan yang kuat keimanannya itu, lalu Nabi Isa a.s. bersabda :  “Sesungguhnya amalan itu adalah perangai dan amalan para nabi. Jika perempuan ini adalah seorang lelaki, maka aku naik saksi bahawasanya dia adalah seorang nabi tetapi Allah tidak memberikan pangkat kenabian pada kaum wanita”.


Rujukan : Himpunan Kisah-Kisah Teladan 


No comments:

Post a Comment

Tambah komen anda di sini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Informasi Kartikel

Informasi Ping.busuk

 
SEO Stats powered by MyPagerank.Net