gambar sekadar hiasan
Diriwayatkan daripada Tous Al-Yamani, ada seorang
lelaki yang mempunyai empat orang anak. Suatu hari, lelaki tersebut jatuh sakit
yang tenat. Kebetulan pula dia tidak mempunyai sebarang harta.
Berundinglah keempat beradik itu. Berkata anak yang
sulung kepada adik-adiknya, “Adakalanya seseorang itu menjaga ayahnya yang
sakit tetapi tidak mendapat sedikitpun harta pusaka daripadanya. Dalam masalah
yang kita hadapi sekarang ini, aku menjaga ayah dan merawat penyakitnya tetapi
aku tidak menerima sedikitpun harta
pusaka daripadanya. Maka siapakah di antara kita yang lebih patut merawat
ayah?” Jawab adik-adiknya, “Engkau sebagai anak yang sulung yang lebih patut
merawatnya”.
Anak yang sulung menyedari ayahnya sakit tenat
sedangkan adik-beradiknya tidak seorangpun yang mahu mengambil berat. Oleh
kerana tanggungjawab itu diamanahkan kepadanya, dia tiada pilihan tetapi menerima
tanggungjawab tersebut tanpa banyak alasan lagi. Akhirnya sampailah ajal ayahnya
itu dengan tidak meninggalkan sebarang harta untuk dipusakai oleh mereka empat
beradik.
Suatu hari, tatkala dia tidur, dia bermimpi bertemu
dengan seorang yang tidak dikenalinya. Orang tersebut berkata, “Pergilah
engkau ke suatu tempat di mana engkau
akan temui wang sebanyak seratus dinar. Tetapi ingatlah bahawa wang itu tidak
mempunyai berkat”.
Apabila dia terjaga dari tidurnya, dia berfikir
tentang mimpinya. Pagi harinya, dia berkata pada isterinya, “Wahai isteriku,
malam tadi aku bermimpi bertemu dengan seorang yang tidak aku kenali. Dalam
mimpi itu, dia menyuruh aku pergi ke suatu tempat di mana terdapat wang sebanyak seratus dinar
tetapi wang itu tiada keberkatan atasnya. Lalu bagaimanakah menurut pendapatmu?”
Jawab isterinya, “Sebaiknyalah engkau ambil wang itu”. Kata suaminya, “Aku
bimbang wang itu akan mendatangkan kemudaratan bagi diri kita sekeluarga dan
aku merasa keberatan untuk mengambilnya sebab wang itu tiada berkat padanya”.
Tetapi isterinya tetap menasihatkan supaya mengambilnya. Namun begitu, suaminya
masih ragu-ragu.
Lalu pada malam berikutnya, dia mendapat mimpi yang
sama. Lelaki itu berkata, “Pergilah pada suatu tempat dan ambillah olehmu wang
sebanyak sepuluh dinar tetapi wang itu
juga tidak mempunyai berkat”.
Pada pagi harinya, dia menceritakan tentang mimpinya
itu. Isterinya memujuknya supaya pergi mendapatkan
wang itu tetapi tidak
dipedulikan oleh lelaki itu kerana perasaan bimbangnya terhadap keburukan yang
mungkin menimpa akibat daripada wang yang tidak mempunyai berkat padanya itu.
Pada malam ketiga, lelaki itu mendapat mimpi yang
sama. Dalam mimpi itu, orang yang tidak dikenalinya itu
berkata, “Pergilah pada suatu tempat. Di sana engkau akan mendapat wang
sebanyak satu dinar tetapi wang itu tidak mempunyai berkat”.
Kali ini, anak lelaki sulung itu pergi ke tempat
yang dinyatakan di dalam mimpinya dan mengambil wang sebanyak satu dinar.
Setelah diambilnya wang itu, pergilah dia ke pecan dengan tujuan membelanjakan
wang itu.
Di pekan tersebut, dia berjumpa dengan seorang
lelaki yang menjual ikan hanya dua ekor sahaja. Anak sulung itu bertanya pada
lelaki yang menjual ikan itu, “Berapakah harga ikan ini?”. Jawab lelaki penjual
ikan, “Satu dinar”. Tanpa dilakukan tawar menawar, anak sulung itu membelinya.
Maka habislah wang sebanyak satu dinar yang dia dapati itu dibelanjakan untuk
membeli dua ekor ikan sahaja.
Setelah itu, segeralah dia kembali kerumah dan
menyerahkan ikan itu pada isterinya. Ketika isterinya menyiang ikan tersebut,
ditemui pada tiap-tiap perut ikan itu satu
mutiara yang tidak pernah dilihat oleh manusia.
Maka dia pun pergi ke istana raja dengan membawa
satu mutiara dan memberitahukannya pada raja. Kata Raja, “Tidak patut dengan
hanya satu mutiara ini sahaja melainkan ada saudaranya”. Kata Raja pula, “Bawalah
yang satu lagi kepadaku. Akan aku berikan wang
yang banyak padamu”.
Oleh kerana raja mahukan kedua-dua mutiara itu, maka
baliklah dia kerumahnya untuk mengambil mutiara yang satu lagi. Kemudian diapun
menyerahkan mutiara itu pada raja. Maka raja pun memberikan wang yang sangat
banyak pada anak sulung itu iaitu sebanyak enam puluh ribu dinar.
Pada malam harinya, dia bermimpi bertemu dengan
seorang lelaki dan lelaki itu berkata, “Inilah balasan terhadapmu dengan sebab
engkau hormat dan berbakti pada bapamu”.
Ini hanyalah balasan sementara di dunia. Adapun
balasan di akhirat jauh lebih baik daripada balasan di dunia ini.
Rujukan : Himpunan
Kisah-Kisah Teladan
No comments:
Post a Comment
Tambah komen anda di sini...